Jumaat, 27 Jun 2008

Nafsu

Bila difikirkan aku tidak tahu aku tergolong dalam nafsu kategori apa... cuba menghayati pengisian dari Kak su .. Hasil dari ceramah yang kak su terima dari Datuk Dr Fatma Az-Zahra. terima kasih kak Su atas ilmu yang dapat dikongsi bersama..

1. Nafsu amarah

Nafsu ini adalah nafsu yang paling buruk dan ianya melahirkan perlakuan yang penuh dengan kejahatan yang telah sebati dalam diri. Dosa yang melekat dihati adalah terlalu tebal akibat dari perlakuan seharian yang mengabaikan hukum halal haram, malah ada yang berbangga melakukannya. Nafsu syahwat yang tak terkawal juga termasuk dalam kategori ini. Kebiasaan individu yang terperangkap dalam nafsu amarah akan punya sikap seperti suka mencela orang lain dan melihat dirinya lebih baik, tidak senang melihat kelebihan orang lain, tidak mempedulikan perasaan orang, dengan sengaja menyakitkan orang lain melalui perbuatan dan kata-kata, merasakan bahawa segala kelebihan yang diperolehi adalah hasil dari usahanya sendiri tanpa bergantung pada Allah tapi bila berlaku musibah, suka menyalahkan orang lain malah adakalanya menyoal Allah pula. Ilmu yang dipentingkan hanyalah yang berkaitan dengan keduniaan sahaja dan tidak berminat dengan ilmu akhirat. Jika ada ibadat yang dilakukan, ia tidak mampu mencegahnya dari melakukan kemungkaran yang membinasakan dirinya dan juga orang lain. Hanya satu saja cara untuk menyucikan hati dari nafsu amarah iaitu dengan cara menerima tunjuk ajar yang berterusan dari guru agama yang mana selalunya guru-guru agama ini akan memberikan pelbagai petua penyucian hati melalui bacaan Quran, zikir dan pelbagai ibadat lain.

2. Nafsu lawwamah

Ini merupakan nafsu pertengahan yang mana individu yang memilikinya akan selalu menyalahkan diri sendiri dan menyesal bila ada kesilapan yang dilakukan. Dan seringkali mengutuk diri sendiri bila melakukan dosa. Bila ada kesalahan yang dilakukan hati akan cepat merasai penyesalan. Ianya ibarat hidayah yang Allah berikan untuk memimpin kembali ke jalan yang benar dan lurus. Kesedaran dan keinsafan yang terlintas difikiran jika diabaikan, lama-kelamaan ia akan hilang. Hati akan menjadi semakin keras dan kelam oleh titik dosa yang bertambah. Pengabaiannya akan membuatkan nafsu amarah lebih berkuasa terhadap diri. Itu yang menyebabkan kesilapan adakalanya masih berlaku berpunca dari kelemahan dalam pertahanan iman. Jika mahu memperbaiki nafsu yang berada dalam peringkat ini, kita perlu istiqamah dalam beribadat, berzikir dan sentiasa beristighfar untuk memastikan hati sentiasa disucikan.

3. Nafsu mutmainnah

Ini adalah nafsu yang paling baik dan Allah menjamin syurga kepada mereka yang mempunyai nafsu ini. Ia dapat memberikan ketenangan hidup yang hakiki kepada sesiapa yang memilikinya. Tidak ada perasaan gelisah yang lahir biarpun apa juga dugaan yang Allah turunkan. Mempunyai sifat sabar dan redha yang tinggi, dan segala kebaikan yang ada dalam dirinya lahir dari hatinya yang suci dan tidak berpura-pura.Kesimpulannya, setelah mengenali jenis-jenis nafsu, rasanya kita dah boleh mengagak nafsu mana yang pernah dan sedang kita miliki. Nafsu mana yang mahu kita kita biarkan berada dalam diri dan bagaimana cara untuk memiliki nafsu yang terdidik, yang mampu memberi kebaikan kepada dunia dan akhirat.

Olahan penulisan dari Suara

Tiada ulasan: